KUALA LUMPUR: Gempa bumi bermagnitud 6 yang melanda Laut Banda, Indonesia awal pagi tadi tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan, gempa berkenaan berlaku pada jam 2.38 pagi dengan kedalaman 173 kilometer, kira-kira 467 kilometer selatan Ambon, Indonesia.
Dalam perkembangan lain, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan termasuk Selangor, Perak dan Sarawak sehingga pagi ini.
Antara kawasan terjejas ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat, selain beberapa daerah di Perak serta kawasan di Sarawak seperti Serian, Samarahan dan Kapit.
Amaran sama turut melibatkan perairan Selat Melaka dengan angin kencang sehingga 50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter yang boleh membahayakan bot kecil.
Bagaimanapun, tiada aktiviti siklon tropika dikesan di rantau ini setakat ini.










