KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Malaysian Indian Congress (MIC) untuk terus kekal dalam gabungan itu, disifatkan sebagai langkah tegas dan berpandangan jauh dalam landskap politik semasa.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pendirian tersebut mencerminkan kesinambungan kerjasama lama sejak era Perikatan hingga penubuhan Barisan Nasional, yang kekal utuh meskipun berdepan pelbagai cabaran politik dan perkauman.
Menurutnya, keputusan MIC hadir pada waktu penting ketika negara memerlukan kestabilan politik, selain memperkukuh keyakinan terhadap BN sebagai platform berpengalaman dalam mentadbir secara inklusif.
“BN bukan sekadar gabungan parti, tetapi model kerjasama pelbagai kaum yang telah terbukti mampu mengekalkan keharmonian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan parti itu kekal bersama BN buat masa ini, meskipun tidak menolak kemungkinan mempertimbang pilihan lain pada masa depan.
Zambry turut menegaskan keputusan itu memberi isyarat jelas menolak politik perpecahan, sebaliknya mengangkat prinsip kesatuan sebagai asas kestabilan negara.
Beliau menambah, BN akan terus memperkukuh organisasi dan melakukan pembaharuan agar kekal relevan serta responsif terhadap kehendak rakyat.










