Hishammuddin Sedia Kembali Jika UMNO Tarik Balik Penggantungan

SEM­BRONG: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyatakan kesediaannya untuk kembali aktif dalam parti itu sekiranya penggantungan keahliannya ditarik balik.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau menghargai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali bersama parti.

Menurut Hishammuddin, sepanjang tempoh penggantungan yang bermula pada Januari 2023, beliau tidak pernah meninggalkan parti tersebut walaupun tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti parti.

“Dalam tempoh tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah keluar daripada UMNO. Jadi apabila pimpinan parti kini menyatakan pendirian mereka, saya rasa penting untuk memaklumkan kepada warga Sembrong dan kepimpinan UMNO di sini bahawa saya tiada masalah untuk menerima apa yang diputuskan oleh presiden parti,” katanya.

Beliau menegaskan, keputusannya untuk kembali bersama UMNO bukan sesuatu yang sukar kerana kesetiaannya kepada parti itu tidak pernah berubah.

Namun begitu, Hishammuddin menjelaskan bahawa perkara utama ketika ini ialah status penggantungan keahliannya yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya penggantungan tersebut benar-benar ditarik balik, beliau bersedia untuk kembali berjuang bersama parti bagi mengukuhkan kekuatan UMNO khususnya di Johor.

“Jika benar mereka ikhlas menarik balik penggantungan itu, saya akan kembali berjuang dalam UMNO dan merapatkan barisan di peringkat UMNO Sembrong serta UMNO Johor untuk memperkasa parti,” katanya.

Hishammuddin sebelum ini dikenakan penggantungan keahlian selama enam tahun bermula Januari 2023 susulan keputusan Majlis Tertinggi UMNO.

BBerkaitan

Latest articles