KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000 yang didakwa berkait dengan anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 54, yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan SSM, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Khuzairi didakwa menerima wang tunai RM50,000 daripada Faisal Hamzah tanpa sebarang balasan, sedangkan beliau mengetahui pemberian tersebut mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada Mei 2018 di Ibu Pejabat SSM@Sentral, No.7, Jalan Stesen 5, Kuala Lumpur Sentral.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, pasportnya turut diperintahkan diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Hakim turut menetapkan syarat tambahan supaya Khuzairi melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhampiran dengan kediamannya pada Isnin pertama setiap bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan kerana bimbang tertuduh berpotensi melarikan diri.
Peguam Muhammad Aizat Fakri yang mewakili Khuzairi bagaimanapun memaklumkan pihak pembelaan tidak membantah jumlah jaminan serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.










