“Laju Bila Agama Lain Dihina, Tapi Senyap Isu Islam?” – Ridhuan Tee Selar Sikap Pilih Kasih Ahli Politik

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyelar sikap segelintir ahli politik yang didakwanya pantas bersuara apabila melibatkan isu penghinaan terhadap agama lain, namun dilihat kurang tegas apabila Islam menjadi sasaran.

Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kewujudan pendekatan yang didakwa tidak seimbang dalam menangani isu sensitiviti agama di negara ini.

Dalam kenyataan yang dimuat naik hari ini, Ridhuan Tee secara sinis mempersoalkan reaksi pantas kelompok tertentu susulan insiden memijak simbol keagamaan Hindu ‘Soolam’ atau ‘Trisula’.

“Amboi… bukan main laju respons apabila simbol agama lain dipijak, siap petik hadis dan al-Quran lagi bagi kuatkan hujah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa apabila berlaku penghinaan terhadap Islam seperti tindakan memijak atau mencemarkan al-Quran, reaksi daripada kelompok sama dilihat jauh lebih perlahan.

Ridhuan Tee turut mempersoalkan pihak yang sering menuduh orang lain “menunggang agama”, sedangkan menurutnya mereka juga didakwa melakukan perkara sama demi kepentingan politik.

“Selalu tuduh orang tunggang agama. Habis tu kamu tunggang apa? Tunggang kuda? Takut tak terpilih ke?” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa pemimpin DAP beragama Islam tampil memohon maaf kepada penganut Hindu susulan insiden memijak ‘Soolam’, yang merupakan simbol suci agama Hindu.

Antara yang berbuat demikian ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Omar Ali yang menegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat serta menggalakkan keharmonian antara masyarakat, bukan perpecahan.

Selain itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan turut menggesa tindakan segera diambil terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu berkenaan, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau dan tidak boleh diterima dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Isu tersebut tercetus selepas tular sebuah klip video memaparkan seorang individu memijak ‘Soolam’ atau ‘Trisula’ di lokasi yang tidak dikenal pasti, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat Hindu serta gelombang laporan polis di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles