Kereta Aktivis Cikgu Chandra Dibakar Awal Pagi Tadi

PUCHONG: Sebuah kereta milik aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra dilaporkan dibakar dalam satu kejadian dipercayai khianat di kawasan perumahan Taman Kinrara, awal pagi tadi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamad Suffi Kamari berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh Cikgu Chandra sendiri menerusi panggilan telefon kira-kira jam 5 pagi.

Menurutnya, panggilan itu dibuat bagi memaklumkan keadaan semasa serta situasi keluarga aktivis berkenaan selepas insiden berlaku.

“Cikgu Chandra menghubungi saya sekitar jam 5 pagi untuk memaklumkan kejadian serta keadaan keluarga beliau,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Beliau berkata, kenderaan milik aktivis itu dipercayai dibakar sekitar jam 3 pagi di kawasan kejiranan berkenaan.

Katanya lagi, lokasi kejadian merupakan kawasan perumahan yang mempunyai ramai penduduk dan berkemungkinan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran berhampiran yang boleh membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, aktivis dakwah, Firdaus Wong dilaporkan sedang membantu memindahkan Cikgu Chandra bersama keluarganya ke lokasi yang lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saudara Firdaus Wong sedang berusaha membantu memindahkan Cikgu Chandra dan keluarganya pagi ini ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Pada masa sama, Suffi turut menggesa orang ramai supaya bertenang dan tidak mencetuskan sebarang ketegangan susulan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak polis perlu segera mengambil tindakan tegas dengan menahan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat itu.

“Polis perlu segera menangkap penjenayah yang berani melakukan tindakan jahat ini. Pelaku seperti ini tidak boleh dibiarkan bebas kerana ia boleh mewujudkan budaya intimidasi dan keganasan dalam masyarakat.

“Keadilan mesti ditegakkan dan keselamatan rakyat perlu dilindungi,” katanya.

Terdahulu, semalam Cikgu Chandra turut mendakwa rumahnya diceroboh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam satu kejadian di Puchong.

Firdaus Wong berkata, beliau dihubungi aktivis berkenaan dalam keadaan cemas memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, tiga lelaki yang memakai topeng penuh itu dilaporkan memasuki kawasan pekarangan rumah sebelum merosakkan beberapa harta benda.

BBerkaitan

Latest articles