Hamzah Tolak Kembali Ke UMNO

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak bercadang untuk kembali menyertai UMNO walaupun parti itu membuka peluang kepada bekas ahlinya untuk kembali melalui gagasan Rumah Bangsa.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Larut itu berkata keutamaan beliau ketika ini adalah memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti politik, termasuk UMNO, di bawah agenda “reset” yang diperkenalkannya selepas dipecat daripada Bersatu.

Menurut Hamzah, usaha tersebut bertujuan menghimpunkan kekuatan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang sedang dihadapi negara.

“Kita perlukan kekuatan bersama. Sepatutnya UMNO juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha ini supaya segala perkara yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik… jadi tak payah masuklah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang yang diadakan hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa pemimpin parti politik termasuk Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan; Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Awang Hashim; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Hamzah menegaskan kehadiran pemimpin daripada pelbagai parti bukan bertujuan membawa agenda politik, sebaliknya sebagai tanda persahabatan.

“Ini bukan politik, ini majlis iftar. Kepada sahabat-sahabat yang hadir hari ini, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai UMNO.

BBerkaitan

Latest articles