SEBERANG JAYA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan di sebuah taska yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di taska berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia walaupun pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya dengan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama kira-kira sejam.
Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab, 31, berkata keluarganya dimaklumkan mengenai insiden tersebut selepas ibu bayi berkenaan menerima panggilan daripada pihak taska.
Menurutnya, ketika kejadian, ibu mangsa yang juga kakaknya, Ummu Habibah Wahab, 30, sedang bertugas syif malam di hospital berkenaan.
“Saya kemudian meminta kebenaran untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di taska itu dan apa yang saya lihat amat mengejutkan kerana terdapat unsur jenayah termasuk penderaan terhadap anak saudara saya.
“Rakaman tersebut sangat menyedihkan dan menimbulkan kemarahan keluarga kami. Susulan itu saya membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSJ, hari ini.
Ahmad Lutfihadi berkata, bayi berkenaan mula dihantar ke taska tersebut sejak tiga hingga empat bulan lalu selepas ibunya kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.
Menurutnya, keluarga memilih taska itu kerana lokasinya berada dalam kawasan hospital dan berhampiran dengan kediaman mereka.
“Kami menyangka tempat itu selamat kerana berada dalam kawasan hospital. Kami langsung tidak menjangka perkara seperti ini boleh berlaku.
“Sebelum ini ada juga dakwaan daripada ibu bapa lain mengenai kanak-kanak ditampar di taska tersebut, namun setiap kali saya menghantar dan mengambil Hayl Haarith, saya tidak nampak sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, keluarganya masih terkejut dan sukar menerima pemergian bayi berkenaan serta berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Jenazah Hayl Haarith dijangka dikebumikan di Terengganu berhampiran pusara nenek mereka.










