KUANTAN: Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian seorang kanak-kanak dipukul bapanya ketika menghantar barang di sebuah rumah di Felda Chini, Pekan, yang videonya tular di media sosial dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal telah dijalankan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 58 saat mengenai kejadian itu mula tersebar di Facebook dan mencetuskan reaksi marah dalam kalangan warganet.
Menurut beliau, insiden tersebut dipercayai berlaku apabila pemilik rumah menegur kanak-kanak lelaki berkenaan yang bermain dengan sebuah kerusi kerana bimbang dia terjatuh.
Namun teguran itu tidak diendahkan oleh kanak-kanak terbabit sebelum bapanya yang berada di lokasi berkenaan bertindak dalam keadaan marah sehingga berlaku perbuatan seperti yang dirakam dalam video berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana individu dalam rakaman tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Zaidi turut memaklumkan setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, video tular itu memaparkan seorang lelaki yang dipercayai penghantar barang dilihat menendang dan memukul seorang kanak-kanak di dalam kawasan rumah pelanggan, sekali gus mengundang kecaman ramai pengguna media sosial.










