Penggantungan 7 Pemain Warisan Kekal, FAM Turut Didenda RM1.8 Juta

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan melibatkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya akhirnya dimuktamadkan apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan seperti yang diputuskan oleh FIFA sebelum ini.

Bagaimanapun, panel CAS menjelaskan larangan itu hanya melibatkan perlawanan rasmi dan tidak meliputi keseluruhan aktiviti bola sepak, sekali gus membolehkan pemain terlibat terus menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh hukuman.

Tujuh pemain yang terlibat dalam keputusan tersebut ialah Facundo Tomas Garcés Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Dalam kenyataan rasmi, CAS turut menolak rayuan yang difailkan bersama oleh Football Association of Malaysia bersama pemain terbabit.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap FAM oleh FIFA.

Menurut CAS, hukuman penggantungan daripada beraksi dalam perlawanan rasmi akan berkuat kuasa bermula 5 Mac 2026, namun tempoh penggantungan sebelum ini dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 turut diambil kira sebagai sebahagian daripada hukuman.

“Ini bermakna pemain masih boleh meneruskan latihan dengan kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan. Rayuan yang dikemukakan hanya diterima sebahagian, dengan hukuman dipinda dari segi skop larangan,” jelas badan timbang tara itu.

Pada masa sama, CAS memutuskan bahawa denda CHF350,000 terhadap FAM adalah munasabah dan seimbang dengan kesalahan yang diputuskan oleh FIFA.

Terdahulu pada awal Disember lalu, FAM mengesahkan pihaknya telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS bagi mencabar hukuman yang dikenakan oleh FIFA terhadap badan induk bola sepak negara itu serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Dalam keputusan asal FIFA, selain penggantungan setahun daripada aktiviti bola sepak, setiap pemain turut dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).

BBerkaitan

Latest articles