KWSP Umum Dividen 6.15% Untuk 2025 – RM79.6 Bil Dikreditkan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi akaun konvensional dan syariah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sedikit menurun berbanding 6.3 peratus yang diagihkan pada 2024.

Secara keseluruhan, dana persaraan itu mengagihkan sebanyak RM79.6 bilion kepada ahlinya, melibatkan RM67.1 bilion untuk akaun konvensional dan RM12.5 bilion bagi akaun syariah.

Bayaran dividen berkenaan akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selewat-lewatnya esok.

Dalam kenyataan rasmi, KWSP memaklumkan jumlah pendapatan boleh agih meningkat kepada RM82.7 bilion, naik 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong pertumbuhan kukuh aset pelaburan yang melonjak kepada RM1.409 trilion, peningkatan 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion pada 2024. Perkembangan tersebut dipacu oleh pendapatan portfolio serta caruman bersih berjumlah RM66.5 bilion.

Pengerusinya, Zuki Ali berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan akibat ketegangan perdagangan dan geopolitik global, ekonomi dunia kekal berdaya tahan sepanjang 2025.

Keadaan inflasi yang sederhana membolehkan beberapa bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus menyokong sentimen pelabur jangka panjang.

Menurut beliau, disiplin pengurusan risiko dan kepelbagaian portfolio membantu KWSP mengekalkan prestasi stabil walaupun pasaran mengalami turun naik ketara pada suku kedua susulan pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat.

“Pasaran ekuiti yang kekal kukuh menjadi penyumbang utama kepada pendapatan, disokong pulangan konsisten daripada instrumen pendapatan tetap dan strategi kepelbagaian pelaburan,” katanya, sambil menegaskan pendekatan jangka panjang terus menjadi teras dalam melindungi simpanan ahli.

Dari segi keahlian dan caruman, KWSP mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah caruman diterima meningkat 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion.

Keahlian keseluruhan turut melonjak kepada 18.1 juta berbanding 16.2 juta pada 2024, didorong pertambahan ahli baharu termasuk pekerja asing susulan semakan dasar caruman.

Keahlian aktif kini mencecah 10.6 juta orang dengan 2.8 juta pendaftaran baharu serta 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah majikan aktif sebanyak 640,391.

Caruman sukarela juga meningkat kepada RM19.2 bilion, manakala program i-Saraan menunjukkan lonjakan ketara apabila jumlah penerima bertambah 35.9 peratus kepada 720,056 orang dengan nilai caruman mencecah RM4 bilion.

Mengulas prospek 2026, Zuki menegaskan KWSP akan terus berhati-hati dalam mengemudi landskap global yang tidak menentu.

“Sebagai dana persaraan jangka panjang, kami beroperasi dengan horizon pelaburan berbilang tahun. Walaupun pulangan mungkin berbeza setiap tahun, fokus kami kekal kepada pulangan mampan demi memastikan simpanan ahli terus berkembang melalui kesan penggandaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles