KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui dalam keadaan dikerat dan dibuang di kawasan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, awal bulan ini.
Tertuduh, Piluta Samad, didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa, 44, antara jam 6 hingga 7 petang pada 11 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan DNA, forensik, patologi dan kimia.
Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan akan terus ditahan di Penjara Kapayan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, pada 12 Februari, beberapa bahagian badan mangsa ditemukan di tempat pembuangan sampah.
Dua lagi anggota badan, iaitu kaki kiri dan tangan kanan, masih belum dijumpai.
Suspek yang dipercayai tunang mangsa ditahan pada hari kejadian, manakala tiga lagi individu termasuk anak suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.










