PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka dimuktamadkan minggu hadapan.
Beliau memaklumkan hasil siasatan itu akan diperhalusi Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan.
Menurut beliau, Kabinet memandang serius isu berkenaan dan telah mengambil maklum cadangan supaya RCI diwujudkan bagi memastikan ketelusan serta integriti proses siasatan.
Dalam perkembangan sama, Polis Diraja Malaysia turut menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan SPRM bagi kepentingan korporat.
Siasatan itu, katanya, dilakukan segera bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
Isu pemilikan saham Azam dalam Velocity Capital Partner Bhd yang dilaporkan media antarabangsa, termasuk Bloomberg, antara perkara yang dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, bagi meneliti dakwaan tersebut secara menyeluruh.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.










