3 Jurulatih Palapes UTM Didakwa Sebabkan Kematuan Syamsul Haris

KOTA TINGGI: Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai (Palapes) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berdepan pertuduhan serius di Mahkamah Sesyen hari ini, berkait kematian seorang pelatih, Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu.

Tertuduh terdiri daripada Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhamad Bahauddin, 30; serta Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris, 22, ketika kejadian, dengan niat menyebabkan kecederaan yang berkemungkinan membawa maut.

Insiden itu didakwa berlaku di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara antara jam 2 hingga 3 petang pada 28 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif bersama Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Namun, tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan komitmen kewangan dan tanggungan keluarga.

Mohd Azmi memaklumkan beliau berpendapatan RM9,000 sebulan dan menanggung tiga anak termasuk bayi berusia 23 hari.

Muhamad Bahauddin pula memperoleh RM4,000 sebulan dengan seorang anak serta isteri tidak bekerja.

Mohd Norbuangani menyatakan pendapatannya RM3,000 dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Dalam rayuan lanjut, mereka menegaskan telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia tanpa sebarang rekod disiplin.

“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun dan tidak pernah ke mahkamah. Kami ada keluarga dan akan pastikan hadir setiap kali prosiding,” kata Mohd Azmi mewakili dua lagi tertuduh.

Mahkamah pada awalnya menetapkan jaminan RM25,000 setiap seorang, sebelum dikurangkan lagi kepada RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, mereka diarahkan menyerahkan pasport serta melapor diri di balai polis berhampiran sebagai syarat tambahan.

Hakim turut mengingatkan bahawa pertuduhan yang dihadapi adalah serius, namun mengambil kira rayuan dan latar belakang perkhidmatan mereka.

Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen, pelantikan peguam serta kehadiran peguam pemerhati keluarga mangsa.

BBerkaitan

Latest articles