Padah Tendang Warga Emas: Mahkamah Tolak Denda RM5,500, Lelaki Dipenjara 4 Bulan

SHAH ALAM: Hukuman denda RM5,500 yang dikenakan terhadap lelaki tular kerana menendang seorang warga emas dalam insiden kemalangan di Jalan Cheras-Hulu Langat akhirnya diketepikan, sebaliknya Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat bulan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan hukuman lebih tegas wajar dikenakan terhadap Saiful Adli Yusof, 52, selepas mendapati tindakannya mencederakan dan mengugut mangsa membawa kesan serius.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula hari ini.

Terdahulu, Saiful mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh Liew Khoon Foo, 70, dalam kejadian pada 8 Februari lalu.

Mangsa mengalami kecederaan termasuk enam jahitan di lidah serta trauma sehingga takut keluar rumah.

Kes itu mencetuskan kemarahan ramai selepas video berdurasi satu minit memaparkan tertuduh menendang dan menumbuk mangsa tular di media sosial, dengan orang awam dilihat cuba meleraikan keadaan.

BBerkaitan

Latest articles