KUALA PILAH – EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong, YB Dato Mustapha Nagoor meluangkan masa berbuka puasa bersama kariah Surau Pondok Al Majidiah, Kampung Kerdas dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Majlis yang berlangsung secara sederhana itu menghimpunkan penduduk setempat yang bergotong-royong menyediakan juadah berbuka, sekali gus mencerminkan semangat silaturrahim yang kukuh dalam komuniti.
Menurut beliau yang juga mesra disapa Pak Mus berkata, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya medan untuk merapatkan saf, menyantuni masyarakat serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Duduk bersila, berkongsi juadah dan bertanya khabar adalah detik yang cukup bermakna. Di situlah lahirnya rasa kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan, termasuk jawatankuasa surau dan penduduk kampung yang berganding bahu memastikan kelancaran program.
Pak Mus menegaskan komitmennya untuk terus turun padang dan bersama rakyat dalam apa jua keadaan, selari dengan semangat Ramadan yang menuntut keprihatinan dan kebersamaan demi kesejahteraan masyarakat Negeri Sembilan.










