KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selepas lima tahun menerajui organisasi berita berkenaan.
Keputusan itu dibuat ketika jenama tersebut berada dalam keadaan kukuh dan stabil, sekali gus menandakan penamat satu fasa penting dalam landskap medianya.
Dilantik pada usia 36 tahun oleh Astro Malaysia Holdings Berhad, Ashwad menyifatkan kepercayaan yang diberi sebagai simbol komitmen memperkasa kepimpinan muda tempatan.
Menurutnya, Astro Awani bukan sekadar bilik berita, sebaliknya sebuah misi yang membuktikan kewartawanan boleh berinovasi tanpa menggadaikan prinsip serta kekal berdaya maju dalam cabaran industri.
Sepanjang kepimpinannya, beliau memacu transformasi digital dan pendekatan editorial lebih tangkas bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media.
Dalam kenyataannya, Ashwad turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatan dan menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja serta penonton.
Ashwad sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) bagi sesi 2023-2025.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau dijangka menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah Penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pengumuman rasmi pelantikan oleh Kementerian Komunikasi dijangka dibuat dalam masa terdekat.










