KUALA LUMPUR, Syarikat operasi YTL Corporation Bhd bagi pembangunan kompleks hiburan langsung baharu di Bristol, YTL Live, mengumumkan bahawa Aviva, syarikat insurans pelbagai perkhidmatan terkemuka di United Kingdom, telah dilantik sebagai rakan penaja utama bagi arena tertutup berkapasiti 20,000 penonton di bandar itu menerusi perjanjian penajaan jangka panjang.
Dalam kenyataan bersama, YTL dan Aviva memaklumkan bahawa perjanjian strategik tersebut merangkumi hak penamaan venue berkenaan yang bakal dikenali sebagai Aviva Arena apabila ia dibuka pada penghujung 2028. Arena itu dijangka menjadi antara lokasi acara terbesar di United Kingdom serta yang pertama seumpamanya di wilayah Barat England.
Menurut kenyataan itu, dianggarkan kira-kira 1.4 juta pengunjung akan menghadiri pelbagai acara muzik langsung, sukan dan hiburan yang dianjurkan di Aviva Arena setiap tahun.
“Kerja-kerja transformasi Brabazon Hangars yang ikoni, lokasi kelahiran pesawat supersonik Concorde di UK itu telah dimulakan bagi menjadikannya destinasi hiburan langsung bertaraf antarabangsa.
“Keseluruhan pembangunan yang dikenali sebagai YTL Live akan menempatkan Aviva Arena di hangar tengah yang terbesar daripada tiga Brabazon Hangars, selain ruang persidangan dan pameran.
Projek ini dijangka menyumbang kira-kira £1 bilion kepada ekonomi Bristol dalam tempoh 10 tahun pertama operasi,” menurut kenyataan tersebut.
Projek itu juga dijangka mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta sehingga 500 jawatan tetap apabila arena mula beroperasi, sekali gus memberikan manfaat ekonomi dan sosial jangka panjang kepada komuniti setempat.
Aviva Arena dirancang untuk menganjurkan lebih 120 acara berskala besar setiap tahun, sekali gus meletakkannya sebagai destinasi antarabangsa utama atau ‘must-play arena’ bagi artis global.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh berkata kerjasama dengan Aviva mencerminkan nilai bersama kedua-dua organisasi yang menekankan aspek komuniti, keterangkuman dan kelestarian.
Beliau berkata walaupun YTL terus mengembangkan perniagaan infrastruktur digital termasuk rangkaian 5G, pusat data kecerdasan buatan melalui kerjasama dengan Nvidia serta pelancaran bank digital berasaskan AI, kumpulan itu kekal komited sebagai pemaju jangka panjang kepada portfolio infrastrukturnya.
“Pembelian lapangan terbang Filton yang tidak lagi digunakan pada 2015 merupakan langkah strategik, selari dengan pengalaman kami membangunkan semula tapak terbiar di Asia bagi mewujudkan persekitaran baharu dan komuniti yang makmur,” katanya pada majlis pelancaran hak penamaan tersebut.
Menurut Yeoh, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut melancarkan pelan induk semakan YTL bagi pembangunan Brabazon New Town, selain komitmen kumpulan untuk melabur kira-kira £4 bilion di United Kingdom dalam tempoh lima tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan YTL sebagai pelabur Malaysia terbesar di negara berkenaan.
“Kerja-kerja perobohan telah selesai dan pembinaan oleh YTL Construction UK kini bermula. Kami mensasarkan projek ini siap sepenuhnya pada penghujung 2028,” katanya.










