KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam supaya menghayati Ramadan dengan memahami makna sebenar ibadah puasa, bukan sekadar memenuhi rukun dan syarat, tetapi menjiwai hikmah serta tujuan syariat yang lebih mendalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa dorongan melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan perlu berteraskan semangat mujahadah iaitu kesungguhan melawan hawa nafsu, bukan hanya untuk mengejar ganjaran ukhrawi, malah membentuk keperibadian yang lebih kukuh.
Beliau menjelaskan, amalan puasa dan ibadah lain dalam bulan mulia ini mampu memupuk disiplin diri, meningkatkan komitmen terhadap tugas serta menyemai etika kerja yang lebih berintegriti dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, kemuncak kenikmatan Ramadan adalah pencapaian takwa yang lahir daripada proses tarbiah pembentukan watak, berakar pada kesedaran hati dan kewaspadaan batin yang digerakkan oleh rasa takut kepada Allah SWT.
Anwar turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk bertemu Ramadan yang dirindui, ketika umat Islam di seluruh negara bersiap sedia memulakan ibadah puasa esok.










