Tragedi 5 Sekeluarga Dibunuh: Sultan Pahang Luah Dukacita, Titah Rakyat Lebih Peka

KUANTAN: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa susulan insiden pembunuhan tragis membabitkan lima sekeluarga di Taman Cherating Damai, pagi semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda bertitah bahawa kejadian menyayat hati seperti itu sama sekali tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan sebuah institusi keluarga.

Sebagai Raja Pemerintah, baginda menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan tidak membiarkan sebarang perlakuan berbahaya berterusan tanpa tindakan.

Baginda turut mengingatkan masyarakat agar lebih peka terhadap perubahan sikap atau emosi individu di sekeliling, selain tidak memandang ringan sebarang petanda yang berpotensi membawa kepada tragedi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun ditemui maut bersama ibu bapa mereka yang masing-masing berumur 28 dan 32 tahun di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

Mayat seorang wanita berusia 55 tahun yang dipercayai nenek kepada kanak-kanak terbabit pula ditemukan di bahagian dapur kediaman tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan siasatan awal mendapati suspek lelaki dipercayai menyerang isteri, ibu serta dua anaknya menggunakan senjata tajam yang disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri hingga maut.

Menurut beliau, hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan motif kejadian berkait dengan masalah kewangan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi.

BBerkaitan

Latest articles