KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas diumumkan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencetuskan spekulasi baharu apabila memuat naik sekeping gambar bersama barisan kepimpinan PAS di Rusila.
Perkongsian di Facebook itu memaparkan Hamzah bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Naib Presiden PAS, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Turut kelihatan dalam gambar berkenaan ialah Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Lebih menarik perhatian, pertemuan itu turut disertai Naib Presiden Bersatu, Datuj Ronald Kiandee yang sebelum ini secara terbuka menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melepaskan jawatan.
Dua bekas pemimpin Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang kini dalam proses rayuan terhadap tindakan parti, juga dilihat bersama.
“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah adalah sebaik-baik perancang,” tulis Hamzah ringkas, seolah-olah memberi bayangan tersirat di sebalik kemelut politik yang sedang memuncak.
Terdahulu pada hari yang sama, Bersatu mengumumkan pemecatan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, susulan dakwaan melanggar peruntukan Perlembagaan parti.
Lembaga Disiplin memutuskan beliau gagal mematuhi peraturan, kod etika serta tata kelakuan yang ditetapkan.
Beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang dilaporkan menyatakan sokongan kepada Hamzah turut menerima nasib sama apabila keahlian mereka digugurkan.










