KAJANG: Suasana pilu menyelubungi sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru di sini apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia, manakala dua adiknya kini kritikal selepas dipercayai diberi minum cecair Methadone oleh ibu kandung mereka sendiri, pagi tadi.
Kejadian menyayat hati itu terbongkar apabila ketiga-tiga beradik berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 7.50 pagi.
Bagaimanapun, anak sulung keluarga itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sejurus menerima rawatan.
Dua lagi mangsa masing-masing berusia sembilan dan lima tahun kini dirawat dalam keadaan kritikal dimana seorang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan.
Menurut sumber, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian tersebut daripada pegawai perubatan hospital kira-kira jam 9.01 pagi sebelum siasatan lanjut digerakkan.
Siasatan awal mendapati tragedi itu dipercayai berpunca daripada tindakan ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberikan Methadone iaitu sejenis ubat terkawal kepada ketiga-tiga anaknya.
Bagaimanapun, motif sebenar masih dalam siasatan termasuk bagaimana wanita terbabit memperoleh bekalan ubat berkenaan.
Mayat kanak-kanak yang meninggal dunia kini ditempatkan di Jabatan Forensik HTPN bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Setakat ini, pihak berkuasa masih mengumpul maklumat dan menunggu laporan penuh forensik bagi melengkapkan siasatan.
Perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan selepas pengesahan rasmi daripada pihak polis.










