Kes Rasuah FELDA: Rayuan Pendakwaan Berjaya, Isa Samad Kekal Penjara 6 Tahun, Denda RM15.45 Juta

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menamatkan perjalanan panjang kes rasuah berprofil tinggi apabila memutuskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, kekal menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berkaitan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus mengetepikan pembebasan Isa oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu.

Mahkamah turut mengembalikan sabitan dan hukuman yang sebelum ini diputuskan Mahkamah Tinggi pada Februari 2021.

Mahkamah Tinggi mendapati Isa, 77, bersalah menerima suapan RM3.09 juta sebagai balasan memudahkan kelulusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, pada harga RM160 juta.

Sekiranya gagal melunaskan denda, Isa berdepan hukuman tambahan 18 tahun penjara.

Kes itu membabitkan penerimaan wang suapan melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, antara Julai 2014 hingga Disember 2015. Perbuatan tersebut didakwa berlaku di Menara FELDA, Platinum Park, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membebaskan Isa daripada semua pertuduhan, namun keputusan itu mencetuskan tindakan tegas pihak pendakwaan untuk membawa kes berkenaan ke peringkat tertinggi kehakiman.

BBerkaitan

Latest articles