KUALA LUMPUR: Sebuah rumah sewa yang kelihatan sunyi menyimpan satu penemuan menggemparkan apabila dua mayat dipercayai pasangan kekasih ditemui dalam keadaan mereput.
Dua mayat dipercayai pasangan kekasih ditemui mereput di sebuah rumah sewa di kawasan U13, Shah Alam, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang merupakan ahli keluarga kepada salah seorang mangsa.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 39 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita, ditemui di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah sewa berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal polis bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan tertutup, tiada kenderaan di perkarangan dan pintu besi hadapan tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, keadaan di dalam rumah itu didapati kemas dan teratur, selain tiada sebarang petunjuk awal yang menunjukkan unsur jenayah.
Tambah Ramsay, pemeriksaan turut mendapati tiada kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa, manakala anggaran awal mendapati mereka dipercayai telah meninggal dunia sejak kira-kira seminggu lalu.
Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan kertas siasatan akan diambil alih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6, Shah Alam,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355 bagi membantu siasatan.










