PUTRAJAYA: Kerajaan Madani hari ini memulakan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua kepada lebih 22 juta pemegang MyKad di seluruh negara, melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.2 bilion.
Kementerian Kewangan memaklumkan, setiap warganegara Malaysia dewasa layak menerima kredit one-off RM100 yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026, sekali gus memberi kelegaan segera kepada rakyat dalam menghadapi kos sara hidup.
Pelaksanaan SARA Untuk Semua turut membuka peluang kepada isi rumah menikmati bantuan berganda, bergantung kepada bilangan ahli keluarga dewasa yang layak.
Sebagai contoh, sebuah keluarga terdiri daripada suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas boleh menerima RM400 kredit SARA secara keseluruhan, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya memenuhi kelayakan.
Mengambil kira maklum balas rakyat, kerajaan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti penggunaan kredit.
Antaranya, kategori barangan SARA diperluaskan kepada makanan sejuk beku, menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas yang boleh dibeli.
Penambahan itu secara tidak langsung meningkatkan pilihan pembelian kepada lebih 140,000 jenis barangan yang layak menggunakan kredit SARA.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 buah menjelang hujung tahun ini.
Selain itu, jarak kedai runcit terdekat juga akan dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer bagi memudahkan akses rakyat.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) berkaitan SARA Untuk Semua menerusi portal rasmi SARA.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, sambil menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.
Sebarang maklumat sahih hanya disalurkan melalui portal rasmi STR dan saluran kerajaan yang diiktiraf.










