JOHOR BAHRU: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengesahkan sedang mengambil tindakan segera untuk membatalkan status Malaysia Digital yang diberikan kepada NSO Malaysia Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Network School di Forest City, susulan pembatalan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
MDEC memaklumkan tindakan itu dibuat selepas mengambil maklum keputusan MBIP yang membatalkan lesen perniagaan syarikat berkenaan kerana gagal mematuhi syarat pelesenan dan penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Menurut agensi itu, setiap syarikat yang diberikan status Malaysia Digital diwajibkan memperoleh semua permit serta lesen yang berkaitan, selain mematuhi undang-undang, peraturan dan syarat pelesenan yang berkuat kuasa bagi menjalankan aktiviti yang diluluskan.
Katanya, pembatalan lesen perniagaan NSO jelas merupakan satu bentuk ketidakpatuhan terhadap syarat asas program Malaysia Digital, sekali gus menyebabkan status berkenaan tidak lagi boleh dikekalkan.
“Sehubungan itu, MDEC sedang mengambil tindakan segera untuk membatalkan status Malaysia Digital terhadap NSO,” menurut kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Dalam kenyataan sama, MDEC menegaskan Malaysia kekal mengalu-alukan pelaburan digital berkualiti tinggi, namun pematuhan sepenuhnya terhadap semua undang-undang dan peraturan negara merupakan syarat yang tidak boleh dikompromi.
Terdahulu, MBIP mengeluarkan notis henti niaga terhadap NSO yang berkuat kuasa hari ini selepas mendapati syarikat itu tidak mematuhi syarat lesen perniagaan serta penggunaan premis.
Isu Network School sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas tular di media sosial dakwaan yang mengaitkan kewujudannya di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di Malaysia menerusi pelaburan berkaitan mata wang digital.










