SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan agar kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan itu.
Menurut beliau, penggunaan nama tersebut dilihat lebih mudah difahami rakyat, khususnya di Negeri Sembilan yang menjadi medan pertama kerjasama antara PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Kita mahu memberikan satu nama supaya orang ramai tidak lagi keliru. Di Negeri Sembilan, kita mulakan dengan Perikatan Barisan Nasional kerana ramai yang sukar memahami istilah PN-BN,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Felda Bukit Rokan, malam tadi.
Hamzah berkata, cadangan menggunakan nama PBN itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan akan dibawa untuk dibincangkan bersama pucuk pimpinan parti-parti yang terlibat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini, BN dan PN tanpa penyertaan Bersatu mencapai persefahaman dengan mengelakkan pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi formula itu, BN akan bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi ditandingi parti-parti komponen PN iaitu PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP.
Gabungan tidak rasmi tersebut bakal berdepan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon di semua kerusi, selain Bersatu yang bertanding di 24 DUN.
Dalam perkembangan sama, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang memaklumkan PN bersetuju memberi laluan kepada BN untuk menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sekiranya kerjasama itu berjaya memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan negeri.
Beliau turut mengakui persefahaman antara PN dan BN masih belum difahami sepenuhnya oleh sebahagian ahli di peringkat akar umbi berikutan sejarah perselisihan serta pengalaman politik lampau antara kedua-dua gabungan.
Namun, katanya, perbezaan itu bukan penghalang kepada kerjasama yang lebih kukuh kerana ia boleh diselesaikan melalui pertemuan dan komunikasi yang berterusan.
“Pada peringkat awal memang ada yang berasa kecewa disebabkan masalah lalu, tetapi perkara itu boleh diselesaikan apabila kita bertemu. Sebab itu pertemuan antara BN dan PN diadakan lebih awal supaya selepas ini kita boleh turun bekerja keras dan menjelaskan kepada pengundi apa yang mahu kita lakukan,” katanya.










