Anwar Tekankan Peranan Jurucakap Kerajaan Sebagai Jambatan Kukuh Dengan Rakyat

PUTRAJAYA: Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat disifatkan sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan dalam memastikan setiap dasar serta agenda negara dapat disampaikan secara jelas, tepat dan berlandaskan integriti kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberkesanan pentadbiran kerajaan amat bergantung kepada keupayaan menghubungkan kerajaan dengan rakyat, diibaratkan seperti sebuah jambatan yang kukuh dan berfungsi dengan baik.

Menurut beliau, peranan kumpulan itu bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya bertindak sebagai penghubung utama yang memastikan mesej pentadbiran difahami serta diyakini masyarakat.

“Dalam konteks ini, Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat memikul tanggungjawab besar sebagai perantara antara kerajaan dan rakyat,” katanya ketika menghadiri Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat, seperti yang dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pegawai komunikasi kerajaan agar sentiasa peka terhadap pelbagai bentuk serangan dan cabaran, termasuk maklumat mengelirukan, dengan menyediakan hujah serta justifikasi yang berasaskan fakta.

“Negara ini mesti ditegakkan dengan kebenaran dan fakta, bukannya sentimen yang boleh merosakkan keharmonian serta kepercayaan rakyat,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles