KUALA LUMPUR: Maxis mengesahkan berlaku akses tanpa kebenaran terhadap akaun milik usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, susulan tularnya maklumat bil telefon beliau di media sosial, selain memohon maaf atas insiden berkenaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat telekomunikasi itu memaklumkan siasatan dalaman sedang giat dijalankan selepas mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Maxis berkata, tindakan segera termasuk proses perundangan sedang diambil bagi menangani isu itu.
Menurut Maxis, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan tidak melibatkan pencerobohan data secara meluas, sebaliknya dipercayai hanya membabitkan satu akaun pelanggan.
Setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan maklumat pelanggan lain turut terdedah.
Syarikat itu turut menegaskan semua aktiviti akses ke akaun pelanggan direkodkan dan dipantau, selain memberi jaminan akan menghubungi Khairul Aming berhubung insiden berkenaan serta terus memperkukuh perlindungan terhadap data peribadi pelanggan.
Penjelasan itu dibuat selepas Khairul Aming tampil meminta penjelasan daripada Maxis apabila maklumat berkaitan akaun dan bil telefon miliknya didakwa tersebar kepada pihak lain sebelum dikongsikan di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, beliau mempersoalkan bagaimana butiran yang dianggap sulit itu boleh diperoleh individu tertentu sehingga dipaparkan secara terbuka kepada umum.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik maklumat mengenai pelan telefon yang digunakan Khairul Aming serta mendakwa beliau mempunyai tunggakan bil berjumlah RM498.
Khairul bagaimanapun menjelaskan beliau sememangnya membuat bayaran lebih awal bagi beberapa bulan, menyebabkan dakwaan tunggakan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Namun, beliau menegaskan isu utama bukanlah jumlah bil, sebaliknya bagaimana maklumat peribadi berkenaan boleh diakses dan disebarkan tanpa kebenarannya.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial yang menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keselamatan data pelanggan sentiasa terpelihara dan kejadian sama tidak berulang.
Sehingga kini, Khairul Aming belum mengeluarkan kenyataan lanjut selepas menerima maklum balas daripada Maxis.










