Pendakwah Bebas Direman Sekali Lagi, Kali Ini Berkaitan Dana RM1.3 Juta

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pendakwah bebas buat kali kedua bersama seorang ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan serta dakwah di negeri ini, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan semula kira-kira jam 6 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani, melibatkan siasatan berasingan.

Sebelum itu, mereka direman sehari di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada jam 5 petang hari yang sama.

Sumber memaklumkan, pendakwah bebas terbabit yang juga pengarah urusan institusi berkenaan disyaki bersubahat menyeleweng dana institusi apabila sejumlah kira-kira RM1.3 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran pembelian sebuah rumah bernilai sekitar RM500,000.

Dalam kes berasingan sebelum ini, kedua-dua suspek direman kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 bagi tujuan kutipan dana institusi tanpa mendapat kelulusan rakan kongsi lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles