Isu Levi & Pelaburan: HRD Corp Gantung Tiga Pengurusan Tertinggi, Lancar Siasatan Dalaman

KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertingginya susulan penemuan serius yang dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan, HRD Corp memaklumkan tindakan itu dibuat berasaskan syor dan dapatan berkaitan beberapa isu utama termasuk pengurusan levi yang tidak digunakan, proses pemerolehan Menara Ikhlas serta pengendalian pelaburan ekuiti agensi berkenaan.

Turut diberi perhatian ialah penemuan terbaharu melibatkan Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas gagal melepasi Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) sebanyak tiga kali.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus yang sedang dilaksanakan adalah sejajar dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, yang menekankan keperluan kepada tahap integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi berkaitan pembangunan tenaga kerja.

Menurutnya, satu siasatan dalaman akan dijalankan secara menyeluruh dan berintegriti dengan mandat serta skop yang jelas.

Proses itu melibatkan semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai berkaitan, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan kerahsiaan siasatan.

Dalam perkembangan sama, HRD Corp memaklumkan bahawa dalam tempoh minggu pertama pelantikan Shamir sebagai Ketua Eksekutif, agensi itu berjaya menyelesaikan kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, sekali gus memperoleh pulangan berjumlah RM151.8 juta.

Pencapaian tersebut disifatkan sebagai bukti tindakan pemulihan pantas yang diambil bagi memastikan pelaburan HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

Selain itu, bagi memperkukuh pemantauan serta tadbir urus, HRD Corp menetapkan bahawa pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum antara 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.

BBerkaitan

Latest articles