Sultan Pahang Paling Layak Terajui FAM, Demi Selamatkan Bola Sepak Negara

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan menyatakan keyakinan bahawa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan tokoh paling sesuai untuk kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memulihkan hala tuju dan imej bola sepak negara.

Presidennya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengalaman luas baginda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadi aset penting ketika landskap bola sepak negara kini berdepan cabaran, termasuk kelemahan persatuan negeri yang semakin beralih kepada struktur berasaskan kelab.

Menurutnya, keputusan tetap bergantung kepada perkenan Tuanku, namun beliau menyatakan sokongan penuh sekiranya baginda bersedia memimpin semula FAM.

Al-Sultan Abdullah pernah berkhidmat sebagai Presiden FAM dari 2014 hingga 2017, selain memegang jawatan Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan ahli kepimpinan eksekutif FIFA.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar turut mencadangkan agar baginda kembali memimpin FAM, berdasarkan pengalaman beliau bekerja di bawah kepimpinan Sultan Pahang yang bersifat terbuka dan berteraskan perbincangan.

BBerkaitan

Latest articles