Pilihan Raya PBT Berisiko, Rakyat Bakal Tanggung Beban

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Seputeh menegaskan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah berisiko merugikan rakyat dalam keadaan ekonomi semasa.

Ketuanya, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, peruntukan besar yang diperlukan bagi proses pilihan raya seharusnya disalurkan kepada penambahbaikan perkhidmatan asas termasuk kebersihan bandar, pengangkutan awam dan penyelenggaraan infrastruktur.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan satu lagi proses politik di peringkat pentadbiran tempatan berpotensi membuka ruang kepada salah guna kuasa, konflik kepentingan serta pertindihan bidang kuasa.

Mohd Razlan mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang memaklumkan kajian sedang dijalankan bagi meneliti pelaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Beliau berpandangan, model pentadbiran sedia ada telah terbukti berkesan apabila Kuala Lumpur terus membangun secara terancang tanpa memerlukan pilihan raya PBT, sekali gus menjamin kestabilan dan kesinambungan dasar.

Tambahnya, pilihan raya PBT juga berpotensi menjejaskan keseimbangan sosial dan politik bandar, khususnya melibatkan kedudukan masyarakat Melayu berdasarkan realiti demografi semasa.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran dan Barisan Nasional merupakan sebahagian daripadanya. Selagi BN berada dalam kerajaan, agenda pilihan raya PBT tidak akan dibenarkan,” tegasnya.

Beliau turut menggesa DAP agar menerima pendirian tersebut dan melupakan hasrat berkenaan buat masa ini.

BBerkaitan

Latest articles