Pas Terima Rayuan, Tiga ADUN Perlis Kembali Bersama Parti

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan untuk menerima rayuan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang sebelum ini dipecat, selepas mesyuarat badan tertinggi parti itu pada 27 Januari lalu.

Keputusan berkenaan sekali gus membuka ruang perdamaian dan penyatuan semula dalam kepimpinan Pas di negeri tersebut.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, keputusan itu membabitkan ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Menurut beliau, pertimbangan dibuat berlandaskan tuntutan al-Quran yang menekankan ukhuwah, kasih sayang serta keutamaan islah dalam jamaah.

Beliau menjelaskan, pendekatan Rasulullah SAW yang mengutamakan taubat dan kemaafan turut dijadikan asas pertimbangan, selain kaedah fiqh yang menegaskan keperluan menghapuskan kemudaratan.

Katanya, ketiadaan wakil rakyat berfungsi di tiga kawasan DUN berkenaan boleh menjejaskan kepentingan awam dan kebajikan rakyat tidak wajar menjadi mangsa konflik dalaman parti.

Hashim turut menegaskan, prinsip siasah syar‘iyyah menuntut Pas memelihara kesatuan saf, mengurus perbezaan secara berhemah serta mengekalkan kepercayaan dalam parti.

Justeru, Majlis Syura Ulamak berperanan sebagai pendamai dan pemersatu, khususnya dalam meredakan perpecahan yang berlaku di Perlis.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga ADUN berkenaan digugurkan serta-merta selepas mereka didakwa menandatangani akuan bersumpah menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 24 Disember lalu.

BBerkaitan

Latest articles