Tak Cemerlang Peperiksaan Bukan Halangan Sambung Belajar – Zambry

PUTRAJAYA: Pelajar yang kurang menyerlah dalam peperiksaan tidak seharusnya dilabel gagal atau disisihkan daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut beliau, setiap pelajar memiliki kelebihan tersendiri dan berhak diberi ruang untuk membuktikan potensi masing-masing, sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran lain.

Katanya, menerusi Pelan Pendidikan Tinggi Nasional, kerajaan menyediakan pelbagai laluan alternatif termasuk kepada pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan tetapi mempunyai bakat dan kekuatan dalam bidang tertentu.

“Jangan sesekali anggap anak-anak kita tidak pandai. Ada yang menjadi profesor, ada juga yang menjadi ‘pakar’ dalam bidang lain walaupun tanpa gelaran. Semua ini perlu dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Masuk U (JMU) 2026 Zon Wilayah (Premier) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sempena Hari Terbuka Putrajaya, hari ini.

Zambry turut menekankan kepentingan keprihatinan pihak universiti terhadap pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan yang tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan, walaupun berpotensi besar.

Program JMU 2026 yang berlangsung selama empat hari itu menyediakan 62 reruai melibatkan penyertaan 20 universiti awam, universiti swasta, politeknik, kolej komuniti serta 21 agensi awam, bagi membantu pelajar dan ibu bapa memahami laluan pendidikan yang sesuai.

Mengulas lanjut, beliau berkata program berkenaan juga bertujuan membimbing pelajar yang memperoleh keputusan baik tetapi tersilap memilih kursus atau kombinasi pengajian yang tidak sepadan dengan kelayakan.

Menurutnya, Malaysia kini mempunyai 20 universiti awam, 36 politeknik dan 106 kolej komuniti, sekali gus membuktikan peluang melanjutkan pengajian sentiasa terbuka luas.

Dalam pada itu, Zambry berkata kerajaan terus memperkukuh laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini setara dengan aliran akademik sehingga ke peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

Katanya, pelajar boleh memulakan pengajian di kolej komuniti, menyambung ke politeknik dan seterusnya ke universiti teknikal awam melalui laluan TVET yang semakin mendapat pengiktirafan.

BBerkaitan

Latest articles