Jakim Sahkan Tidak Pernah Keluar Sijil Halal Produk Pasta ‘Carbonara’ San Remo

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang pensijilan halal terhadap produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce yang dikeluarkan oleh San Remo Macaroni Co Pty Ltd.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata semakan turut dilakukan ke atas laman web rasmi San Remo Malaysia dan mendapati produk berkenaan tidak dipasarkan atau dijual di negara ini.

Menurut beliau, penelitian terhadap label pembungkusan produk tersebut juga mendapati ia tidak memaparkan sebarang logo halal daripada Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh Jakim.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei yang melaporkan penemuan DNA khinzir dalam produk berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim di rantau ini.

“Jakim akan terus menjalankan pemantauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di samping bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Brunei bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memilih produk yang mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.

Orang awam juga disaran menyemak label, ramuan serta status halal sesuatu produk sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan pematuhan terhadap keperluan syariah.

BBerkaitan

Latest articles