Dakwaan Dalang Dalam Serangan, Saifuddin Kata Tak Boleh Dedah Maklumat Siasatan

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan secara terbuka maklumat tertentu berkaitan siasatan serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, walaupun perkara itu telah dikongsi secara peribadi sebelum ini.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menjelaskan bahawa sebarang pendedahan kepada umum ketika ini berisiko menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan, termasuk menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan suspek serta membahayakan keselamatan saksi utama.

“Sehubungan itu, permintaan Yang Berhormat tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan keadilan akan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.

Bagaimanapun, hanya maklumat yang tidak menjejaskan proses siasatan akan diumumkan kepada orang ramai pada masa sesuai melalui kenyataan rasmi kementerian atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu itu dibangkitkan Rafizi yang meminta Saifuddin mengesahkan secara terbuka maklumat tertentu yang telah disampaikan kepadanya secara peribadi pada 1 Disember lalu, berkaitan dapatan awal siasatan terhadap individu yang dipercayai menjadi dalang serangan ke atas anaknya.

Untuk rekod, anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu, kira-kira jam 2 petang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri Rafizi dengan menaiki sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.

Dalam insiden tersebut, mangsa dilaporkan diseret dan disuntik menggunakan jarum suntikan sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta menjalani pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri.

Rafizi sebelum ini mendakwa serangan itu bukan berlaku secara rawak, sebaliknya dipercayai dirancang rapi selepas isterinya kemungkinan diperhatikan oleh penyerang selama beberapa hari.

Beliau turut mengaitkan kejadian itu dengan satu kes yang sedang disiasatnya, susulan pertemuan bersama sekumpulan pemberi maklumat kira-kira seminggu sebelum insiden berkenaan.

Menurut Rafizi, isterinya juga menerima satu pesanan mesej berbentuk ugutan yang berbunyi: “Diam andai teruskan, AIDS.”

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa setakat Oktober lalu, pihak polis masih belum menerima laporan analisis kimia berhubung cecair yang terdapat dalam jarum suntikan digunakan dalam serangan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles