Tun M Masih Dirawat Di IJN, Hanya Keluar Sekejap Nikmati Minuman Di Kafe

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan terus menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh di kediamannya awal bulan ini.

Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, keadaan itu menjelaskan penularan gambar Dr Mahathir yang tular di media sosial hari ini ketika berada di sebuah kafe di Pavilion, Bukit Damansara.

Menurut beliau, kehadiran tersebut hanyalah lawatan singkat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan, sebelum Dr Mahathir dibawa semula ke IJN.

“Ini merupakan ‘outing’ pertama beliau sejak dimasukkan ke IJN. Tun Dr Mahathir hanya menikmati segelas ‘ice chocolate’ sebelum kembali menjalani rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sufi memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dibawa ke kafe berkenaan oleh pasukan perubatan IJN dan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, selain Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib.

“Beliau berada di kafe selama kira-kira 40 minit sahaja sebelum dibawa semula ke IJN. Setakat ini, lawatan masih dihadkan kepada ahli keluarga terdekat,” jelasnya.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sejak 6 Januari lalu bagi rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, yang menyebabkan tulang pinggul kanan beliau patah.

BBerkaitan

Latest articles