Chegubard Janji Bongkar ‘Orang Besar’ Kementerian & Pusat Zakat, Serah Bukti Ke SPRM Esok

PUTRAJAYA: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, memberi bayangan bakal mendedahkan dakwaan penyelewengan membabitkan pemimpin tertinggi sebuah kementerian serta sebuah pusat zakat di salah sebuah negeri.

Beliau mendakwa telah mengumpul bukti dan maklumat berkaitan salah laku individu berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, jam 3 petang esok.

Menurut Chegubard, pendedahan itu akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan isu pemilikan harta, simpanan wang dan perkara berkaitan oleh pemimpin tertinggi kementerian terbabit.

Katanya, beliau akan hadir sendiri ke Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan bahan bukti serta memberi keterangan lanjut untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, Chegubard bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, hadir di Mahkamah Tinggi bagi prosiding pendengaran semakan jenayah melibatkan permohonan Pendakwa Raya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Kes berkenaan sebelum ini menyaksikan Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pembelaan mendapatkan salinan rakaman percakapan polis milik wartawan Bloomberg, Ram Anand, berkaitan siasatan kes kasino di Forest City.

Dalam pada itu, Chegubard mendakwa berdepan pelbagai bentuk intimidasi termasuk laporan polis di beberapa negeri susulan pendedahan terdahulu berkaitan dakwaan rasuah melibatkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berundur daripada usaha membongkar sebarang elemen rasuah dan salah guna kuasa dalam institusi kerajaan.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong serta amanat Perdana Menteri dalam memerangi rasuah, sambil menekankan kepentingan tindakan dan pelaksanaan tegas.

Mengulas dakwaan wujudnya surat tuntutan (LOD) terhadap pendedahan sebelum ini, Chegubard berkata beliau masih belum menerima sebarang notis rasmi setakat ini dan bersedia memberi kerjasama sekiranya dimaklumkan secara sah.

BBerkaitan

Latest articles