Anwar: Kemasukan Murid Tahun Satu Usia Enam Tahun Diteruskan, Tidak Ditangguh

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun kerana langkah itu penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak wajar ketinggalan memandangkan lebih 71 peratus atau 137 negara di dunia telah melaksanakan dasar sama.

Menurutnya, kemudahan asas termasuk sekolah dan tenaga pengajar telah disediakan, selain kapasiti prasekolah kerajaan kini mencecah 110,889 tempat di bawah pelbagai agensi.

Persiapan itu turut melibatkan peluasan 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi, termasuk pembinaan bilik darjah baharu pada 2025 dan 2026, dengan tambahan peruntukan RM800 juta serta pengambilan 18,000 guru baharu.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Anwar mengakui masih terdapat cabaran seperti kesesakan sekolah di kawasan bandar dan kekangan pelaksanaan satu sesi, namun isu itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan dasar berkenaan.

Beliau menegaskan, penangguhan hanya akan menyebabkan kanak-kanak kehilangan satu tahun pembelajaran yang berharga, selain menekankan generasi kini lebih matang dan bersedia menerima pendedahan awal.

Walaupun kemasukan awal belum diwajibkan pada peringkat permulaan, kerajaan memberi kelonggaran pendaftaran satu hingga dua bulan dan menggalakkan ibu bapa memanfaatkan peluang tersebut demi kepentingan anak-anak, dengan pelaksanaan penuh dijangka dipertingkatkan beberapa bulan selepas Hari Raya.

BBerkaitan

Latest articles