BN Kekal Dominasi Kinabatangan, Naim Menang Dengan Majoriti Besar

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan penguasaan di Parlimen Kinabatangan apabila calonnya, Mohd Kurniawan Naim Moktar, mencatat kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Mohd Kurniawan Naim, 32, yang meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, meraih sebanyak 19,852 undi sekali gus memperoleh majoriti besar 14,214 undi.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan BN di kawasan berkenaan yang sinonim dengan kepimpinan Bung Moktar sejak sekian lama.

Pesaing terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, hanya mampu mengumpul 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, memperoleh 946 undi.

Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag.

Dalam perkembangan sama, BN turut mencatat kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kinabatangan.

Calon BN, Mohd Ismail Ayob, berjaya menewaskan calon Parti WARISAN, Mazliwati Abdul Malek.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu, sekali gus membuka lembaran baharu apabila anaknya dipilih rakyat untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan di kawasan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles