KUALA PILAH: Kerajaan komited untuk terus menyokong dan memberi bantuan kepada golongan Bumiputera yang mempunyai bakat serta kesungguhan untuk maju, bukannya melahirkan kroni yang akhirnya membebankan negara dengan hutang.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan dana dan bantuan negara disalurkan secara adil kepada mereka yang benar-benar layak serta berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada ekonomi.
Menurut beliau, bantuan harus diberikan bersandarkan kepada merit, bakat dan usaha gigih individu berkenaan dalam bidang yang diceburi, bukannya atas dasar kronisme atau kelayakan politik semata-mata.
”Dasar kita, kalau nak bantu Bumiputera, bantu yang berbakat. Kita membantu di atas bakatnya, kesungguhannya untuk maju. Kalau dia penternak ayam, dia telah buat tetapi tidak cukup modal, kita membantu. Begitu juga yang buka bengkel mekanik dan sebagainya.
”Bumiputera perlu dibantu atau tidak? Perlu. Dan saya yakin pimpinan DAP pun tidak ada masalah untuk kita membantu Bumiputera. Yang mereka marah barangkali ialah membina kroni.
”Rakan kita layak atau tidak layak, kita beri terus bantuan kepada mereka. Akhirnya, ia menimbulkan beban hutang dan membebankan khazanah negara yang merosot pada ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai aspek ekonomi, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut memuji kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah lelah bekerja demi memulihkan semula kestabilan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
Jelas beliau, usaha proaktif Anwar termasuk mengadakan rundingan strategik bersama negara luar seperti Tajikistan untuk penerokaan gas Petronas dan Rusia bagi jaminan bekalan minyak membuktikan kepimpinan beliau yang berfikiran ke hadapan (forward thinking).
”Beliau bekerja begitu dahsyat antaranya untuk membina semula ekonomi negara kita. Semua orang luar puji, majalah antarabangsa puji, malah penarafan (rating) ekonomi Malaysia juga berada di kedudukan yang baik.
”Beliau mengorbankan diri, malah tidak mengambil gaji demi menyelamatkan ekonomi Malaysia untuk rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai PRN Negeri Sembilan, Mohamad menyatakan keyakinannya bahawa landskap politik di negeri berkenaan akan terus stabil di bawah pentadbiran yang harmoni tanpa sebarang isu penindasan atau kesombongan melampau.










