BN Kekal Kuasai Kinabatangan Dan Lamag, Akmal Umum Kemenangan Awal PRK

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sekali lagi menegaskan pengaruhnya di Sabah apabila dilaporkan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, menerusi satu hantaran di Facebook yang mengesahkan kemenangan BN di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah Kinabatangan dan Lamag kekal BN. Terima kasih semua,” tulis beliau.

Sementara menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut memaklumkan BN mendahului dengan majoriti selesa iaitu 9,723 undi di Parlimen Kinabatangan dan 2,093 undi bagi DUN Lamag.

Sebelum ini, laporan awal menunjukkan BN hampir mengesahkan kemenangan di Parlimen Kinabatangan apabila memperoleh majoriti 12,777 undi, selari dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, berdepan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas). Sementara itu, DUN Lamag menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Keputusan rasmi dijangka diumumkan SPR dalam beberapa jam lagi.

BBerkaitan

Latest articles