SPRM Tahan Pengarah Syarikat, Pegawai Kanan TLDM Disyaki Rasuah Projek

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana disyaki terlibat rasuah berkaitan pelantikan syarikat kroni bagi mendapatkan kerja di lokasi pegawai berkenaan bertugas.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 29 Januari 2026 dikeluarkan oleh Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, masing-masing pada jam 6.50 petang dan 9.40 malam, semalam.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2020.

Pegawai kanan TLDM terbabit turut disyaki memiliki harta melebihi kemampuan pendapatan, termasuk lapan aset tak alih terdiri daripada rumah, rumah kedai dan hotel.

Selain itu, siasatan mendapati terdapat kemasukan wang bernilai kira-kira RM2 juta daripada sumber diragui ke dalam akaun peribadi serta dua akaun syarikat perhotelan milik suspek.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles