Pemuda UMNO Bimbang Cadangan Sunway Ambil Alih IJM, Sentuh Kepentingan Negara

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Sunway Group mengambil alih IJM Corporation Berhad kerana dikhuatiri memberi kesan kepada kepentingan nasional dan pemilikan ekuiti Bumiputera.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hampir separuh saham IJM dimiliki institusi pelaburan negara seperti KWSP, PNB, KWAP, Tabung Haji dan LTAT, menjadikan syarikat itu mempunyai kepentingan awam yang besar.

Menurut beliau, cadangan pengambilalihan itu timbul selepas IJM menerima notis daripada Bursa Malaysia pada 12 Januari lalu mengenai kemungkinan Sunway membeli saham IJM sehingga membuka laluan kepada pengambilalihan penuh.

Katanya, berbeza dengan IJM yang dimiliki institusi pelaburan negara, Sunway pula dikuasai seorang individu dengan hampir 60 peratus pegangan, sekali gus meletakkan IJM sepenuhnya di bawah kawalan pihak persendirian jika urus niaga itu berlaku.

Beliau turut mempersoalkan keperluan pengambilalihan itu memandangkan IJM berada dalam kedudukan kewangan kukuh, merekodkan keuntungan hampir RM1 bilion dan memiliki aset strategik negara termasuk lebuh raya utama serta Pelabuhan Kuantan.

Selain itu, beliau berkata cadangan nilai hampir RM11 bilion melibatkan hanya sekitar 10 peratus bayaran tunai manakala selebihnya melalui pertukaran saham Sunway, yang menyebabkan IJM sekadar menjadi pemegang saham minoriti.

Dr Muhamad Akmal juga mempersoalkan penilaian saham Sunway yang didakwa diniagakan pada premium tinggi berbanding nilai aset bersih, dan menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Bursa Malaysia menyiasat pergerakan saham syarikat itu.

Tegasnya, jika pengambilalihan mahu diteruskan, ia wajar dibuat sepenuhnya secara tunai bagi memastikan nilai sebenar transaksi dapat dinilai dengan telus.

BBerkaitan

Latest articles