KUALA LUMPUR,— Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, supaya meletakkan jawatan segera demi menjaga integriti diri, parti dan Kerajaan Perpaduan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, beliau berkata Nga tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan sekiranya benar-benar berhasrat melepaskan jawatan.
Puad berkata beliau sendiri sanggup meninggalkan UMNO ketika parti itu berada dalam kedudukan yang kukuh dan menerima kehilangan jawatan sebagai Ahli MKT demi mempertahankan prinsip yang dipegang.
“Ternyata betul, BN menang 48 kerusi. Tetapi saya tidak kesal kerana mesej saya sampai walaupun saya turut hilang jawatan MKT,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengkritik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, dengan mendakwa pemimpin itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan namun tidak berbuat demikian.
Beliau berkata seseorang yang benar-benar mahu melepaskan jawatan tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan, sambil mendakwa tindakan sedemikian mencerminkan soal integriti.
Sebelum ini, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Timbalan Pengerusi DAP merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata DAP juga tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti tersebut.
Beliau berkata, UMNO Johor telah berkali-kali menyuarakan secara terbuka hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal.
“‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’ memang merupakan agenda UMNO.
“Kita semua tidak perlu berpura-pura tidak tahu dan menipu diri sendiri. Ini adalah satu fakta yang pasti.
“Terus-terang cakap, jika benar-benar Najib dibebaskan hari ini tanpa sebarang kesalahan, saya akan menjadi orang pertama meletak jawatan,” katanya.










