KUALA LUMPUR: Tahap pemulihan Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan selepas mengalami patah tulang pinggul awal bulan ini.
Pejabat bekas perdana menteri memaklumkan, pasukan perubatan berpuas hati dengan keadaan beliau sepanjang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak dua minggu lalu.
Jurucakapnya, Sufi Yusoff berkata, walaupun keadaan Dr Mahathir semakin stabil, proses pemulihan melalui fisioterapi dijangka mengambil tempoh yang agak panjang.
“Pakar berpuas hati dengan perkembangan rawatan beliau setakat ini, namun fisioterapi memerlukan masa untuk benar-benar pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sufi, Dr Mahathir dan keluarganya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau, selain memohon maaf kerana belum dapat menerima sebarang kunjungan buat masa ini.
Dr Mahathir mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh ketika melakukan senaman pagi di kediamannya pada 6 Januari lalu dan dibawa ke IJN dalam keadaan sedar.
Rawatan beliau hanya melibatkan fisioterapi tanpa pembedahan, mengambil kira faktor usia.
Tokoh politik veteran itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan pada 1989 dan 2007, selain beberapa kali dirawat di IJN dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kali terakhir pada Julai tahun lalu selepas keletihan ketika menghadiri majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-100.










