Prasekolah Umur 5, Darjah Satu Umur 6 Bermula 2027

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan awal negara bakal disusun semula apabila kerajaan menggalakkan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah seawal usia lima tahun dan ke Darjah Satu pada usia enam tahun bermula 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan semasa dan perkembangan kanak-kanak yang kini lebih cepat matang berbanding generasi terdahulu.

Namun begitu, beliau menegaskan pelaksanaan tersebut belum diwajibkan sepenuhnya kepada ibu bapa.

“Masih ada ruang fleksibiliti. Kanak-kanak berusia tujuh tahun masih boleh masuk Darjah Satu, tetapi ibu bapa digalakkan mula bersedia supaya anak-anak memasuki prasekolah pada umur lima tahun dan Darjah Satu pada umur enam tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perubahan zaman dan keupayaan kanak-kanak masa kini yang lebih awal menunjukkan kematangan serta kebolehan memahami sesuatu perkara.

Sehubungan itu, kerajaan akan memberi fokus besar kepada pengukuhan sistem prasekolah dengan meletakkannya sepenuhnya di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan standard yang seragam.

Beliau memberi jaminan segala persiapan akan dipercepatkan termasuk penyediaan kemudahan asas yang mencukupi.

“Saya telah mengarahkan kementerian berkaitan supaya bertindak segera bagi memastikan segala keperluan asas dapat dipenuhi seiring pengumuman ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles