KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memulakan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1, yang akan memberi manfaat kepada 5 juta penerima, termasuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
Jumlah bantuan diberikan antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kelayakan masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa penambahbaikan STR kini disepadukan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan golongan yang layak menerima bantuan secara lebih konsisten dan berkesinambungan.
“STR disediakan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan bagi meringankan beban kewangan terutama ketika musim perayaan, manakala SARA berperanan sebagai sokongan asas bulanan yang stabil,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Anwar turut menekankan bahawa kerajaan komited memastikan setiap rakyat dapat hidup bermaruah, tanpa ada yang terpinggir ketika menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” tambah beliau.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion untuk pembayaran STR tahun ini, sebagai usaha untuk meringankan beban rakyat dan memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan.










