Rakyat Malaysia Hilang Di Jeddah – Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Jeddah sejak Khamis lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan sebaik menerima laporan, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan, termasuk menggerakkan pegawai ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu berkenaan dikesan.

Menurut kementerian itu, pada 16 Januari lalu, Konsulat Jeneral turut membantu agensi pelancongan Malaysia terbabit bersama rakan kongsi tempatan di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi mengikut peraturan Arab Saudi.

“Sehingga hari ini, Konsulat Jeneral terus berurusan rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan usaha pencarian, di samping menyalurkan bantuan konsular kepada waris dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan semua pihak berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menegaskan, sebarang butiran lanjut dan perkembangan kes hanya akan dimaklumkan kepada ahli keluarga terdekat bagi menghormati privasi pihak terlibat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Bahagian Konsular Wisma Putra di talian +603-8887 4597, +603-8887 4769, +603-8887 4264 (waktu pejabat), +603-8887 4570 (selepas waktu pejabat) atau melalui e-mel [email protected].

Sebelum ini, media melaporkan rakyat Malaysia, Nadiah Kasumawati Abdul Karim yang juga dikenali sebagai pelakon Nadia Kesuma, hilang ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke London, Khamis lalu.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa pihak Imigresen Arab Saudi mengesahkan wanita itu telah meninggalkan kawasan lapangan terbang dan diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas gagal dikesan lebih 20 jam.

BBerkaitan

Latest articles